Pilihanraya #15 suatu penentuan hala tuju hidup dan kehidupan
date
Oct 30, 2022
slug
pru15-suatu-penentuan-hala-tuju-hidup-kehidupan
status
Published
tags
PRU
Sejarah
Nasional
summary
Pertembungan sengit banyak penjuru membabitkan parti-parti politik melayu baru yang bakal membawa kepada perpecahan setiap lapisan dan komponen masyarakat. Kemelut pilihan yang tepat buat rakyat menjadikan generasi seterusnya akan lebih keliru dalam memahami perjuangan politik negara ini.
type
Post
Author
BSR
cover
PILIHAN Raya Umum Ke-15 (PRU15) yang hari pengundiannya sudah ditetapkan pada 19 November ini tidak sama dengan pilihan raya-pilihan raya yang pernah dialami sebelum ini.
Pertembungan sengit banyak penjuru membabitkan parti-parti politik melayu baru yang bakal membawa kepada perpecahan setiap lapisan masyarakat.
Pada kali ini, Perak telah menjadi tumpuan apabila menyaksikan pertembungan nama-nama besar dalam politik negara.
Dato’ Seri Ahmad Zahid Hamidi di kerusi kuatnya di Bagan Datuk, manakala Dato’ Seri Anwar Ibrahim telah menyatakan kesediaannya untuk bertanding di Tambun sebagai langkah mencabar status quo beliau dalam rangka mewujudkan ‘Corridor of Hope‘.
Para penganalisis politik negara menyatakan bahawa #PRU15 ini sebagai ‘the mother of all elections‘ kerana pilihan raya kali ini adalah penentuan pilihan rakyat selepas ketidaktentuan politik (tiga Perdana Menteri dalam tempoh satu penggal) dan kegawatan ekonomi yang memuncak dalam tempoh dua tahun lalu berikutan pandemik COVID-19.
Sekitar 20 juta rakyat Malaysia dijangka keluar mengundi, dengan belia Malaysia (berumur 18-29 tahun) kini menjadi blok pemilih terbesar.
Sayangnya blok ini jika dapat dikembalikan semula fitrahnya pasti dapat mengembalikan semula keamanan dunia seperti mana yang pernah dikecapi tujuh abad lalu.
Pilihan untuk kembali kepada Pencipta alam semesta ini sepatutnya menjadi pilihan utama dan pertama kerana secara dasarnya setiap makhluk yang diciptakan-Nya itu masih lagi bergantung sepenuhnya kepada sumber yang disediakan-Nya.
Kemunculan pelbagai parti politik baru dengan pelbagai ideologi dan janji dilihat gagal secara zahir dan batin. Tamak, rakus, samun, penipuan, janji manis, ole-ole dan pelbagai lagi menjadi corak penting untuk “sidalang yang menerajui permainan” pada setiap kali pilihan raya diadakan. Itulah yang rakyat negara ini maknainya sebagai Demokrasi Terpimpin.
Rakyat dipimpin untuk dibiasakan dengan rentak dan irama sebegitu agar ianya menjadi suatu kefahaman utuh dalam kejatian diri bahawa hidup ini kejam. Mereka ini akan memandang segala yang dijalani itu sebagai suatu kelaziman dan bukan kezaliman.
Momentum untuk Keamanan Sejagat
Allah SWT, Tuan Punya Alam Semesta ini menetapkan (sunnah-Nya yang pasti tidak ada perubahan pada-Nya) berkehendak manusia itu beriman seluruhnya agar seluruh elemen yang ada di bumi ini menikmati keamanan yang sebenar menurut faham-Nya.
Melalui utusan-Nya, manusia yang dipilih oleh-Nya (al-Mustafa) diharap dapat memimpin manusia keseluruhannya ke jalan keselamatan seperti mana yang telah dicontohkan oleh para rasul dalam sejarah peradaban manusia.
Inilah pilihan yang paling kritikal dan utama untuk dirayakan oleh segenap lapisan (komponen dan eksponen) masyarakat bagi memperoleh kebaikan didunia dan akhirat. Pilihan ini sahaja yang dijanjikan agar manusia dan segala makhluk lainnya dapat memanifestasikan segala faham-Nya, kehendak-Nya, rencana-Nya, ilmu-Nya, idealogi-Nya, isim-Nya dan mahu-Nya Dia. Inilah esensi kepada tujuan segala penciptaan-Nya. Pilihan ini sahaja yang dapat mengelakkan manusia dan alam ini terjerumus ke lembah kebinasaan.
Pilihan untuk beriman kepada Allah dan Rasul agar memperoleh keamanan sejati seharusnya menjadi pilihan utama dan pertama manusia dari bangsa apa pun. Tidak kira miskin atau kaya. Lemah atau kuat. Itulah senyata-nyata doa dan ijtihad bagi mereka yang yakin.
Apakah pilihan Anda untuk hidup dan kehidupan #PRU15?